
Pelan Pembangunan Kompetensi (PPK) 2026–2030 Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) merupakan satu inisiatif strategik yang dirangka bagi memperkukuh keupayaan modal insan perkhidmatan perakaunan sektor awam agar lebih kompeten, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran persekitaran kewangan yang semakin kompleks dan dinamik. Pelan ini berfungsi sebagai Training Roadmap yang menyeluruh dalam membangunkan kompetensi pegawai secara sistematik dan berterusan sejajar dengan hala tuju strategik jabatan.
Seiring dengan visi JANM sebagai peneraju terbilang dalam perakaunan kewangan dan perakaunan pengurusan sektor awam, PPK 2026–2030 memberi penekanan kepada pengukuhan tadbir urus kewangan yang berhemat melalui dasar progresif, sistem perakaunan yang efisien serta pembangunan kakitangan profesional. Pelaksanaan pelan ini turut menyokong usaha meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan pengurusan kewangan Kerajaan Persekutuan serta membantu kerajaan dalam membuat keputusan yang lebih berkesan dan berasaskan data.
Pelan Pembangunan Kompetensi ini dibangunkan berasaskan enam teras utama iaitu komponen latihan, struktur dan kerangka latihan, profil kompetensi, pelaksanaan latihan, penilaian keberkesanan latihan serta pemantauan latihan. Pendekatan ini memastikan latihan yang dirancang bukan sahaja relevan dengan keperluan organisasi, malah selari dengan peranan dan tanggungjawab pegawai mengikut skim perkhidmatan dan gred jawatan masing-masing.
Dari sudut kandungan, Training Roadmap JANM merangkumi dua komponen utama kompetensi iaitu kompetensi generik dan kompetensi fungsian. Kompetensi generik menumpukan kepada pembentukan nilai, kemahiran insaniah dan keupayaan bukan teknikal seperti kepimpinan, komunikasi strategik, kecerdasan emosi, integriti serta penguasaan teknologi digital. Manakala kompetensi fungsian pula memberi fokus kepada kemahiran teknikal perakaunan yang berkaitan secara langsung dengan tugas dan fungsi pegawai dalam pengurusan kewangan sektor awam.
Selain itu, pelan ini turut memperincikan profil kompetensi bagi setiap peringkat jawatan meliputi Akauntan, Penolong Akauntan dan Pembantu Akauntan. Setiap profil dirangka secara progresif bagi menyokong pembangunan kerjaya pegawai daripada peringkat asas sehingga ke tahap pakar dan pemimpin strategik. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan individu, malah menyumbang kepada prestasi keseluruhan organisasi secara berterusan.
Sebagai pelengkap, keberkesanan latihan di bawah PPK 2026–2030 dinilai secara holistik melalui penilaian pengurusan latihan, penilaian keberkesanan latihan serta penilaian profil kompetensi pegawai. Penilaian ini selaras dengan sistem pengurusan prestasi sedia ada bagi memastikan hasil latihan benar-benar diterjemahkan dalam peningkatan kualiti kerja, profesionalisme dan penyampaian perkhidmatan perakaunan awam yang cemerlang.
Secara keseluruhannya, Pelan Pembangunan Kompetensi 2026–2030 merupakan satu pelan strategik yang komprehensif dalam melahirkan pegawai perakaunan sektor awam yang berdaya saing, berpengetahuan tinggi dan berintegriti. Melalui pelaksanaan Training Roadmap ini, JANM diyakini mampu terus memacu kecemerlangan pengurusan kewangan kerajaan serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap sistem perakaunan dan kewangan negara.
